 |
| ehsan: Editorial Remaja |
“Pot Pet, Pot Pet, Mulut si minah kepoh ni tak habis-habis bercakap.
Macam jagung bertih. Rimas dibuatnya! Tak penat ke seharian bercakap?
Seolah-olah baterinya tak lemah langsung. Atau memang dia seorang yang
gemar bercakap dan suka menjaga tepi kain orang lain? Aduhai peningnya
kepala!”
Apabila ada teman, macam ini la jadinya, namun apabila tak ada teman
sunyi sepilah dunia kamu. Pening, pening. Kadangkala kamu sendiri
bingung mendapat teman yang terlampau kepoh sehinggakan tidak
mempedulikan perasaan orang lain. Apa nak buat, dah nasib badan. Untuk
mengatasi pening kepala kamu itu, ayuh ikuti tip ini.
1.Tegur Cara Elok
Memandangkan teman kamu seorang yang kepoh dan hanya tahu melaporkan
berita-berita sensasi kepada kamu dan teman-teman yang lain, ada
wajarnya kamu menegur dan memberitahu tentang sikapnya yang sebenar.
Tujuan kamu bukanlah mahu mencari gaduh dan menyinggung perasaannya
tetapi kamu mahu dia berubah. Caranya itu ada ketikanya kurang disenangi
oleh teman-teman kamu yang lain. Malah ada juga yang bersungut dan
mengutuk dirinya di hadapan kamu. Tegarkah kamu saat mendengar teman
baikmu itu dikutuk dan dicaci? Sudah tentu tidak bukan? Ayuh, atasinya
segera.
2.TariK Diri
Ini bukan bermakna kamu perlu memutuskan persahabatan kamu dengan
dirinya, sebaliknya kamu cuba memberi kesedaran dan membiarkan temanmu
itu bermuhasabah diri. Dengan cara ini, temanmu itu akan mula berfi kir
dan mencari punca mengapa kamu mula menjauhkan diri daripadanya. Secara
tak langsung kamu berjaya mengubah dirinya menjadi individu yang lebih
baik. Walaupun perubahannya itu tidak terlalu ketara sekurang-kurangnya
dia cuba untuk tidak menyinggung perasaan kamu lagi. Kamu pula perlu
menyokong dirinya agar dia rasa kamu masih mahu berkawan dengannya.
3.ReaksiSi Marah
Setiap kali temanmu itu membicarakan hal teman-teman yang lain atau dia
sendiri tidak berhenti bercakap, kamu perlu menunjukkan reaksi kurang
senang dan marah. Walaupun reaksi kamu itu mampu mengubah air mukanya
menjadi keruh, biarkan saja. Sekali sekala kamu perlu memberi pengajaran
kepada orang seperti ini. Berbicara juga ada batasnya, janganlah sampai
mengundang perasaan meluat dalam diri kamu serta teman-teman yang lain.
Dia perlu tahu prinsip kamu yang tidak suka menjaga tepi kain orang.
Mungkin temanmu itu tidak akan mengulangi kesilapan yang sama di hadapan
kamu lagi.
4.Nasihat
Ubat yang paling mujarab ialah nasihat tanpa henti. Setiap hari kamu
perlu membasuh fi kirannya agar tindak-tanduknya selama ini berjaya
dijernihkan semula. Sebagai seorang perempuan, dia perlu tahu menjaga
adab dan pertuturan sehariannya dengan teman-teman yang lain. Tidak ada
salahnya jika temanmu itu mahu berborak dan bergurau-senda tetapi
biarlah perkara yang dibicarakan itu tidak menyentuh soal luar dan dalam
seseorang. Terangkan kepadanya tentang dosa yang terpaksa diterimanya
saat dia membuka keaiban dan pekung orang lain. Sekiranya dia yang
berada di situasi itu, apakah perasaannya? Tentulah malu dan sakit hati
bukan?
5.Berbincang
Setelah pelbagai cara kamu lakukan dan ia masih lagi tidak berhasil,
apa kata kamu duduk berbincang dan berbicara dari hati ke hati. Cara ini
saja mampu mengubahnya sikapnya. Kamu perlu luahkan perasaan
ketidakselesaan kamu terhadap sikapnya. Jangan biarkan dia hanyut dan
anggap bahawa caranya itu disenangi ramai. Salah sebenarnya! Kamu adalah
orang yang bertanggungjawab untuk mengubah dirinya menjadi individu
yang baik budi pekertinya.
6.Perli Cara Berhemah
Agak-agaknya mampu atau tidak kamu lakukan perkara ini? Mungkin ya,
mungkin juga tidak bukan? Situasi ini terlalu sukar buat kamu. Nak tak
nak kamu kena lakukannya juga. Kamu hanya nak mengingatkan dirinya
bahawa sikapnya itu salah. Kalau terlalu kepoh hingga menimbulkan rasa
kurang senang orang lain terhadap dirinya itu agak bahaya. Silap hari
bulan pasti temanmu itu akan dimaki hamun oleh orang lain.
Wajar @ Tidak Apabila Temanmu...
1. Mengumpat dan menceritakan perihal orang lain dianggap tidak wajar
kerana mereka seolah-olah menjaja keburukan orang lain kepada kamu.
2. Wajar sekiranya temanmu menjaga keaiban orang lain agar tidak diketahui orang lain termasuk kamu.
3. Wajar sekiranya temanmu menjadi individu yang bercakap pada perkara yang penting.
4. Tidak wajar sekiranya kamu menyokong tindakannya memburuk-burukkan
orang lain di hadapan kamu. Seolah-olah kamu menggalakkannya.
5. Ada baiknya jika temanmu itu bertindak daripada bersahabat dengan individu yang suka menjaga tepi kain orang lain.